Program
Aerobik Yok Mega, 2012 telah dijalankan pada 25hb November 2012 iaitu pada hari
Ahad. Program ini berlangsung selama tujuh jam. Program ini melibatkan seluruh program
di bawah Fakulti Sains Kesihatan terdiri daripada enam kumpulan.
Objektif
program ini ialah untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai minda yang cerdas
dan cergas.
Selain
itu, melahirkan mahasiswa yang mempunyai sifat daya saing yang sihat. Program
ini juga dapat merapatkan hubungan silaturrahim antara mahasiswa walaupun
berlainan jurusan di samping memaksimakan kemahiran komunikasi. Di samping itu,
memupuk kerjasama antara ahli pasukan serta melahirkan mahasiswa berminda
kreatif dan kritis.
Sebelum
memulakan pertandingan, aktiviti memanaskan badan telah dilakukan dan diketuai
oleh Siti Atiqah dan Nurul Farhani selama 3 minit. Selepas itu, bermulalah
pertandingan aerobik untuk sesi pertama. Pada sesi pertama peserta-peserta perlu
mengikut pergerakan instruktor, En. Mohd Hanif. Kemudian, mereka telah diberi
setengah jam untuk menghafal serta
memikir pergerakan tambahan untuk diulangi semula pada setengah jam berikutnya.
Hal ini dapat menguji kadar kecekapan peserta-peserta untuk menghafal
pergerakan tersebut disamping dapat menilai
tahap kreativiti mereka dalam menghasilkan pergerakan yang menarik.
Selesai sesi
pertama, program diteruskan dengan sesi kedua iaitu pergerakan aerobik yang
telah disediakan oleh para peserta sendiri. Mereka diberi 3 minit untuk
mempersembahkan pergerakan mereka berserta lagu yang telah mereka pilih sebelum
hari pertandingan. Mereka dibenarkan untuk menggabungkan beberapa buah lagu
untuk dijadikan sebuah lagu. Melalui aktiviti ini kerjasama berpasukan dapat
dilihat dari aspek keseragaman pergerakan sewaktu aerobik. Kemudian, sementara
menunggu keputusan pemenang, aktiviti sampingan telah diadakan seperti aerobik
yang diketuai oleh tetamu khas iaitu para juri, En. Mohd Hanif dan Cik Nonny
Nadhirah. Selesai aerobik, majlis penyampaian hadiah dijalankan. Sesi fotografi
beramai-ramai diadakan sebagai penutup majlis.
Diharap agar program ini dapat membuka minda semua
mahasiswa dan mahasiswi bahawa bersukan itu adalah salah satu aktiviti yang
menyeronokkan disamping dapat menyihatkan badan. Semoga dengan usaha murni ini akan dapat menyumbang kepada peningkatan
tahap penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan.
Laporan disediakan oleh,
AINUL ASYIKIN BINTI SHUHAIMI,
KETUA PROGRAM AEROBIK YOK MEGA
Sesi 2012/2013